Masyarakat bukan Islam sering melihat Islam sebagai agama kolot dan ortodoks, di mana ia mengongkong penganutnya dengan pelbagai larangan. Bagi mereka, Islam menyekat kebebasan dan hak penganutnya daripada menikmati kehidupan di dunia.
Sebagai contoh, Islam melarang umatnya memakan daging khinzir dan meminum khamar (arak). Namun, sedarkah mereka, apa yang dihalalkan oleh Islam sebenarnya lebih banyak daripada diharamkan.
Cuba luangkan masa dan catatkan dengan membuat perbandingan mengenai perkara yang diharamkan Islam ke atas penganutnya dan apa pula dihalalkan. Nescaya mereka tidak akan mampu mencatat perkara berkaitan perihal yang dihalalkan.
Apabila Islam mengharamkan sesuatu perkara, ia juga turut mengharamkan perkara yang membawa kepada perkara haram itu.
Contoh jelas yang dapat dilihat dalam konteks ini berhubung pengharaman arak, di mana Allah bukan saja melaknat orang yang meminum arak, tetapi melaknat 10 golongan yang terbabit dengan aktiviti berkaitan arak.
Dalam kaedah Usul Fiqh, kaedah ini dipanggil ‘Saddu Zarai’ atau dalam bahasa mudahnya diistilahkan sebagai penutupan kepada pintu yang boleh membawa kepada kemudaratan atau perkara haram itu.
Begitu juga hikmah pengharaman zina di dalam al-Quran, di mana Allah secara tidak langsung turut mengharamkan segala perbuatan yang menjurus kepada segala kemungkinan yang boleh membawa kepada zina, seperti mana dalam firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Apa saja yang menjurus dan boleh membawa kepada zina ditegah dengan penuh hikmah oleh Islam. Apabila berbicara mengenai perkara yang boleh membawa kepada penzinaan, perbincangannya tentu panjang.
Namun yang saya ingin kongsi bersama pembaca adalah mengenai adab pemakaian yang semakin lama semakin jauh daripada landasan yang disediakan oleh Islam.
Tidak mustahil cara pemakaian juga boleh menyumbang kepada berlakunya penzinaan dan jenayah seksual.
Pada masa kini, hampir mustahil untuk kita, terutama golongan Adam, untuk menjaga mata dan hati daripada tercemar ketika berjalan atau bersiar-siar di tempat awam, apatah lagi jika kawasan itu tumpuan pelancong.
Wanita berpakaian menjolok mata pasti sedikit sebanyak akan menggegar iman golongan Adam yang mudah terdorong dan melihat dengan penuh rasa syahwat.
Tidak hairan mengapa terlalu banyak kes gangguan seksual dan jenayah rogol semakin berleluasa pada akhir zaman ini dan sukar dibendung.
Pada akhir zaman ini, sifat malu terlalu sukar diertikan kerana ia berbeza mengikut pendapat masing-masing. Ada yang mengatakan berpakaian menjolok mata adalah mengikut ‘trend’ dan peredaran zaman.
Ada pula yang mengatakan, trend pemakaian seksi sebagai simbol sesebuah negara itu mencapai tahap negara moden. Walau apa pun kata-kata mereka, kita sebagai umat Islam sepatutnya perlu bersifat berkecuali.
Kebelakangan ini, trend pemakaian jubah semakin mendapat tempat di kalangan wanita Muslim di negara kita. Ia adalah perkembangan positif yang harus disokong.
Namun begitu, mungkin ada sedikit penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam memilih jubah supaya benar-benar menepati adab pakaian dianjurkan Islam.
Antaranya, pakaian itu hendaklah tebal dan tidak mengikut bentuk badan serta tidak terlalu menyerlah hingga menarik pandangan lelaki.
Hukum penjagaan aurat adalah wajib dan tiada kompromi di dalam Islam. Kerana itu, kita perlu faham mengenainya supaya tidak melakukan perkara sia-sia seperti menyangka sudah menutup aurat tetapi sebenarnya tidak.
Kaedah penjagaan aurat dinyatakan sedikit sebanyak oleh Allah SWT dalam surah An Nur, ayat 31, yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti aurat perempuan; dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
No comments:
Post a Comment